Isi Penting
Taqwa & Kewajipan Mendengar Dan Taat
Taqwa ialah memelihara diri dari segala perbuatan yang menyebabkan terkena bencana di dunia dan azab di akhirat. Orang yang beriman diwajibkan taqwa itu demi keselamatan hidupnya. Taqwanya adalah dengan perbuatannya yang diperintah oleh agama, sekalipun perbuatannya kecil saja asal saja untuk menolong memeliharanya dari kesengsaraannya, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. iaitu:
"Takutilah api neraka walaupun dengan sebelah buah tamar, kalau tidak dapati maka dengan sepatah kata yang baik."
Umat Islam disuruh supaya mendengarkan dan mentaati sekalipun orang yang memerintah itu dipandang hina dan buruk rupanya, asalkan dia mengutamakan kitab Allah s.w.t. dan menggunakan alasan yang kukuh. Hal ini bermaksud bahawa apa yang didengarkan dan ditaati itu bukanlah pada hakikatnya kepada orang yang memerntah, tetapi adalah kepada perintahnya yang sebenar daripada Al-Quran itu sendiri.
Sabda baginda s.a.w. lagi:
"Hanya taat itu pada yang baik"
Jadi, taat atau patuh itu adalah kepada Allah s.w.t. (Al-Quran) dan kepada Rasul (Hadis dan Sunnah) dan kepada orang-orang yang mengurus hal ehwal umat Islam, yang melaksanakan suatu hukum sesuai dengan maksud dari kedua kitab tersebut.
Akan Timbul Perselisihan Yang Banyak
Kata Imam Syafie :
"Tidak ada sebarang perkataan lagi bagi seorang berserta sunnah Rasulullah s.a.w."
Maksudnya ialah tidak boleh diterima perkataan seorang jika ternyata perkataan itu berlawanan dengan sunnah (hadith) Rasulullah. Dan katanya lagi:
"Telah sepakat manusia, bahawa barangsiapa yang ternyata baginya satu sunnah dari Rasulullah tidaklah seharusnya ia meninggalkan kerana perkataan seorang dari manusia."
Maksudnya telah sepakat segenap umat Islam bahawa barangsiapa yang mengetahui satu sunnah dari Rasulullah s.a.w. maka tidaklah boleh lagi ia meninggalkan sunnah itu hanya kerana mengikut pendapat orang lain.
Berpegang Teguh Dengan Sunnah Rasulullah & Sunnah Khalifahnya
Sabda baginda s.a.w.
"Barangsiapa mengambil (berpegang) akan sunnahku, maka ia daripadaku (daripada umatku). Dan barangsiapa tidak suka daripada sunnahku maka ia bukan daripadaku (bukan dari perjalanan umatku)."
"Akan datang kepada manusia suatu zaman di mana tiada akan mampu untuk mendapatkan penghidupan dalam kalangan mereka melainkan dengan maksiat (durhaka) sehingga seorang lelaki berdusta dan bersumpah. Apabila telah sampai masa yang demikian itu, maka hendaklah kamu lari (menjauhkan diri). Ditanya: Ya Rasulullah! Dan ke mana tempat lari? Jawabnya: Kepada Allah s.w.t. dan kepada kitabNya dan kepada sunnah NabiNya."
Sunnah Rasulullah s.a.w. ialah jalan Rasulullah, jalan yang diikuti para sahabatnya dan oleh umat Islam yang mencintai syariatnya. Dan jalan inilah yang wajib diikuti oleh setiap orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya, kerana jalan ini ialah jalan Allah, jalan yang diterangkan dalam kitabNya al-Quran sepertimana yang ditegaskan oleh Imam Syafie iaitu:
"Segala apa yang telah dihukumkan oleh Rasulullah, maka hukum itu adalah difahamkan dari al-Quran."
Jauhilah Perkara-perkara Yang Baru Diadakan
Bid'ah ialah nama bagi suatu yang baru diadakan. Bid'ah dalam urusan dunia tidak dilarang, sebaliknya dalam urusan agama yang sangat dilarang. Maka, barangsiapa yang mengadakan suatu perbuatan lalu dikatakannya dari agama atau disandarkan kepada agama pada hal tidak ada asal dan contohnya dari agama, maka perbuatan itu adalah dipandang salah dan ditolak.
Imam Syafie berkata:
"Bid'ah itu dua (macam) iaitu : bid'ah yang terpuji dan bid'ah yang tercela. Maka bid'ah yang sesuai akan sunnah adalah yang terpuji, dan bid'ah yang menyalahinya ialah yang tercela."
Pengajaran hadis
(1) Ucapan nasihat dan peringatan adalah penting dalam kehidupan umat lslam. Pengajaran dan peringatan hendaklah disampaikan secara bersungguh-sungguh dan berkesan agar ia memberikan kesan positif kepada para pendengar.
(2) Rasulullah SAW berwasiat dalam hadis ini beberapa perkara penting, antaranya; supaya bertaqwa kepada Allah SWT, patuh dan taat kepada pemerintah biarpun dia adalah orang yang berasal dari keturunan bawahan atau hamba 'abdi, kerana yang penting apa yang diperintahkan, bukan orang yang memerintah.
(3) Masalah melantik hamba abdi menjadi ketua masih diperselisihkan oleh para ulama, namun Rasulullah SAW menyebut hal ini bagi menunjukkan peri pentingnya tuntutan patuh dan taat bagi seorang mukmin terhadap ketuanya selagimana perintahnya tidak bertentangan dengan syara'.
(4) Umat akhir zaman diancam oleh perselisihan dan perpecahan. Justeru itu Nabi SAW berpesan agar umat Baginda berpegang teguh dengan sunnah Baginda SAW dan sunnah para khulafa' Rasyidin. Baginda menyeru mereka agar menggigit sunnah-sunnah tersebut. Ungkapan ini memberi erti betapa perlunya berpegang teguh dengan sunnah Nabi dan Khulafa' Rasyidin serta menjauhkan perkara bid'ah yang sesat, perkara yang diada-adakan dalam agama kerana semua bid'ah adalah kesesatan yang akhirnya membawa pengamalnya ke lembah neraka.
wallahu'alam
detail via --> link
SETIAP KESABARAN AKAN DIGANTI DENGAN KEMENANGAN
SETIAP KEDUKAAN AKAN BERGANTI DENGAN KEBAHAGIAAN
SETIAP PERPISAHAN PASTI BERMULA DENGAN SATU PERTEMUAN
SETIAP YANG BERAKHIR AKAN BERTUKAR DENGAN SUATU PERMULAAN
SETIAP KEJADIAN TUHAN PASTI ADA HIKMAHNYA.............
Saya ada satu epal, anda ada satu epal. Kita tukar epal, anda ada satu dan saya tetap ada satu.
Jika anda ada satu ilmu Dan saya ada satu ilmu, kemudian kita tukar ilmu tersebut, anda ada dua ilmu dan saya ada dua ilmu...
Lets Feel The Beauty Of Islam
No comments:
Post a Comment