Thursday, December 10, 2009

Hadith 30/40


Daripada Abu Tha'labah al-Khusyanie Jurthum ibn Nasyer r.a. daripada Rasulullah SAW telah bersabda: "Sesungguhnya Allah Ta'ala telah memfardhukan beberapa fardhu maka janganlah kamu menghilangkannya (iaitu janganlah kamu mempersia-siakannya dan meninggalkannya), Dia telah menentukan beberapa batasan, maka janganlah kamu melampauinya, Dia telah mengharamkan beberapa perkara, maka janganlah kamu mencabulinya dan Dia tidak menyatakan hukum tentang beberapa perkara, maka janganlah kamu cuba menyelidikinya."
(Hadith hasan - riwayat al-Daruqutni dan orang lain)


Isi Penting

Bahagian Hukum Allah
Terdapat 4 jenis bahagian hukum Allah:
Pertama : Hukum yang difardhukan menurut dalil syarak dari kitabNya atau sunnah RasulNya atau dari kaedah-kaedah hukumNya. Hukum ini tidak boleh disia-siakan atau ditinggalkan.

Kedua : Hukum yang dihadkan Allah, iaitu hukum yang telah ditetapkan Allah tetapi tidak boleh melampaui dari ketentuannya, seperti sabda baginda s.a.w. : "Allah telah menetapkan beberapa hudud, maka janganlah kamu melampauinya."

Ketiga : Hukum yang diharamkan Allah secara tegas dalam kitabNya dan hadith RasulNya, seperti:
"Katakanlah! Sesungguhnya tuhanku mengharamkan segala kejahatan yang zahirnya dan yang batinnya dan dosa dan aniaya dengan tiada benar, dan (Ia haramkan) kamu menyekutukan Allah dengan suatu yang keterangannya tidak Ia turunkan, dan (Ia haramkan) kamu berkata atas nama Allah suatu yang kamu tidak tahu." (Al-A'raf : 33)

"Tiap-tiap yang memabukkan adalah haram."

Keempat : Perkara yang didiamkan, maka haram menyelidikinya dan mencari puncanya. Kerana yang didiamkan itu adalah suatu rahmat atau kemudahan, bukan kerana disengaja tidak diterangkan hukumnya.

Hukum Perkara Yang Didiamkan
Maksud perkara yang didiamkan ini ialah perkara yang tidak disebutkan hukumnya sama ada halal, wajib atau haram. Dengan demikian maka hukumnya adalah harus, tiada salah melakukannya atau menggunakannya.

Menurut riwayat Tirmizi dan Ibn Majah dari Salman al-Farisi ditanya Rasulullah s.a.w. darihal minyak sapi, keju dan kulit. Rasulullah s.a.w. menjawab :
"Yang halal ialah apa yang Allah halalkan dalam kitabNya, dan yang haram apa yang Allah haramkan dalam kitabNya, dan apa yang didiamkan daripadanya maka ia dari perkara yang dimaafkan untuk kamu."

Rasulullah s.a.w. dalam jawapannya ini tidak menjelaskan hukum benda-benda tersebut secara satu persatu, tetapi baginda menarik perhatian supaya meneliti dan mengetahuinya dari kitab Allah.

Rasulullah s.a.w. juga menyatakan laranganNya terhadap penyelidikan perkara yang didiamkan sama sekali. Di antaranya ialah perkara-perkara yang ghaib yang diperintah supaya dipercayai dan tidak disuruh supaya dibahas secara mendalam atau diselidiki keadaannya, kerana ditakuti membawa kepada keraguan dan akhirnya pendustaan.

Ishaq bin Rahawiyyah berkata: "Tidak harus berfikir terhadap tuhan yang mencipta, tetapi harus bagi hambaNya berfikir terhadap segala makhluk atau kejadian yang ada sekadar yang dapat mereka dengar atau mengetahui, dan tidak dikehendaki mereka melebihi dan mendalami fikiran yang membawa kepada timbulnya prasangka."


Pengajaran Hadis

(1) Setiap mukmin dituntut supaya mematuhi titah perintah Allah SWT sama ada berbentuk suruhan fardhu mahupun larangan haram. Hadis tersebut mengingatkan setiap mukmin agar memelihara dengan baik segala amalan fardhu yang Allah SWT fardhukan, jangan sampai dipersiakan atau dihilangkan begitu sahaja.

(2) Demikian pula Allah menentukan beberapa batasan dan beberapa perkara haram, maka setiap mukmin dituntut agar benar-benar menjaga sempadan halal haram ini, jangan sampai dia mencabuli perkara haram apatah lagi kalau sampai menghalalkan perkara haram.

(3) Di samping itu, Allah SWT mendiamkan beberapa perkara iaitu tidak menyatakan halal haramnya secara jelas, maka janganlah kita menyusahkan diri mencari hukumnya. Allah berbuat demikian bukan kerana lupa, bahkan sebagai rahmat buat umat manusia demi memberi kemudahan bagi manusia. Hukum perkara yang ditinggalkan hukum halal haramnya adalah harus, iaitu boleh dilakukan



wallahu'alam

detail via --> link


SETIAP KESABARAN AKAN DIGANTI DENGAN KEMENANGAN
SETIAP KEDUKAAN AKAN BERGANTI DENGAN KEBAHAGIAAN
SETIAP PERPISAHAN PASTI BERMULA DENGAN SATU PERTEMUAN
SETIAP YANG BERAKHIR AKAN BERTUKAR DENGAN SUATU PERMULAAN
SETIAP KEJADIAN TUHAN PASTI ADA HIKMAHNYA.............
Saya ada satu epal, anda ada satu epal. Kita tukar epal, anda ada satu dan saya tetap ada satu.
Jika anda ada satu ilmu Dan saya ada satu ilmu, kemudian kita tukar ilmu tersebut, anda ada dua ilmu dan saya ada dua ilmu...


Monday, December 7, 2009

Amalan Yang Diterima

*sumber rujukan - Muhammad Thalib : 170 Amalan Yang Diterima

Part 3 - Thaharah

a) Menjaga Kebersihan
Dari Abu Hurairah, sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Jauhilah olehmu dari dua tempat yang terlaknat!"
Mereka bertanya: "Apakah dua tempat yang terlaknat itu?"
Baginda bersabda: "Iaitu orang buang air di jalan manusia, atau di tempat-tempat manusia berteduh." (Riwayat Muslim)


b) Bersiwak Setiap Wudhuk

"Sekiranya tidaklah memberatkan kepada umatku tentu aku akan perintahkan mereka untuk berwudhuk pada setiap akan solat dan setiap kali mahu wudhuk menggunakan siwak." (Riwayat Ahmad)


c) Baca Bismillah Ketika Wudhuk
"Tidak sah solat bagi orang yang tidak berwudhuk dan tidak sah wudhuk bagi orang yang tidak membaca bismillahirrahmanirrahim." (Riwayat Ahmad)


d) Meluaskan Air Wudhuk
"Sesungguhnya pada hari kiamat umatku akan ditandai dengan keningnya berkilauan kerana bekas wudhuk. Barangsiapa di antara kamu yang sanggup untuk memperpanjang kilauannya, hendaklah ia lakukan."


e) Menyempurnakan Wudhuk
"Barangsiapa berwudhuk, lalu ia menyempurnakan wudhuknya, iaitu ia menyuci kedua tangannya, wajahnya dan mengusap kepalanya dan kedua telinganya dan menyuci kedua kakinya, kemudian ia berdiri untuk solat fardhu, maka pada hari itu ia diampuni dosa-dosa yang dilakukan oleh kedua kakinya, oleh kedua tangannya dan diampuni dosanya kerana apa yang didengar oleh kedua telinganya, dilihat oleh kedua matanya, dan dibisikkan oleh hatinya."


f) Berdoa Sesudah Wudhuk
"Tidaklah seseorang di antara kamu berwudhuk, lalu ia menyempurnakan wudhuknya, kemudian ia berdoa Asyhadu anla ilaha illallah wahdahu lasyarikalah, wa asyhadu ana muhammadan 'abduhu wa rasuluh (Aku bersaksi tiada Tuhan kecuali Allah Yang Maha Tunggal, tiada sekutu bagiNya dan aku bersaksi sesungguhnya Muhammad adalah hambaNya dan utusanNya - doa sesudah wudhuk), maka pastilah akan dibukakan lapan pintu syurga untuk dirinya dan ia dapat masuk pada pintu mana saja yang ia sukai." (Riwayat Muslim)

Dalam riwayat Tirmidzi, ada pertambahan
Allahumaj 'alni minattawabin waj 'alni minal mutatahhirin (Ya Allah, jadikanlah aku termasuk orang-orang yang bertaubat dan jadikanlah aku termasuk orang-orang suci)


g) Setelah Wudhuk Solat 2 Rakaat
"Barangsiapa berwudhuk, lalu ia menyempurnakan wudhuknya kemudian solat dua rakaat dengan tiada yang terlupa di dalam mengerjakan solatnya, maka ia akan diampuni segala dosa-dosanya yang telah lalu." (Riwayat Abu Dawud)



Wassalam..

next episode:
Part 4 - Solat Wajib
Part 5 - Solat Sunnah
Part 6 - Solat Jumaat
Part 7 - Zakat
Part 8 - Puasa
Part 9 - Jihad
Part 10 - Zikir
Part 11 - Doa-doa
Part 12 - Bekerja
Part 13 - Menikah
Part 14 - Makanan
Part 15 - Lain-lain


SETIAP KESABARAN AKAN DIGANTI DENGAN KEMENANGAN
SETIAP KEDUKAAN AKAN BERGANTI DENGAN KEBAHAGIAAN
SETIAP PERPISAHAN PASTI BERMULA DENGAN SATU PERTEMUAN
SETIAP YANG BERAKHIR AKAN BERTUKAR DENGAN SUATU PERMULAAN
SETIAP KEJADIAN TUHAN PASTI ADA HIKMAHNYA.............
Saya Ada satu epal, anda Ada satu epal. Kita tukar epal, anda Ada satu Dan saya tetap Ada satu.
Jika anda Ada satu ilmu Dan saya Ada satu ilmu, kemudian Kita tukar ilmu tersebut, anda Ada dua ilmu Dan saya Ada dua ilmu...